MENU

Berita Harian

ISNIN, 20 MAC 2017 @ 5:25 PM

Oleh Adha Ghazali

adha@bh.com.my

 

LANGKAWI: Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan berita gembira khusus untuk lebih 5,000 warga Pulau Tuba di sini, susulan kelulusan peruntukan pembangunan membabitkan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

Daripada peruntukan itu, RM750,000 diluluskan melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu RM690,000 untuk pembinaan jeti penumpang di Tanjung Pandan yang dijangka siap penghujung Mei ini dan RM60,000 lagi bagi kos pendawaian semula 30 rumah rakyat miskin di pulau ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan RM800,000 untuk baik pulih rumah rakyat, selain berjanji menunaikan hasrat warga Pulau Tuba yang mahukan sebuah mini stadium bagi tujuan rekreasi yang akan disenarai melalui Bajet 2018.

"Tuan-tuan jangan rasa khuatir kerana kerajaan pimpinan saya akan tetap membantu pembangunan Pulau Tuba, Langkawi dan juga seluruh Kedah... saya akan mai (datang) lagi untuk terus lakukan pembangunan dan bantu rakyat susah termasuk nelayan.

"Kita (kerajaan) akan terus bela nasib nelayan, petani, pekebun dan semua golongan... ini pegangan saya sebagai Perdana Menteri... depa (mereka) nak kata apa, katalah kerana saya tak akan berganjak dari prinsip saya (untuk bantu rakyat)," katanya ketika berucap sempena perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Melalui Sisten Grid Kebangsaan di Pulau Tuba di sini, hari ini.

Projek menelan kos RM46 juta membabitkan penyediaan dua kabel dasar laut menghubungkan Langkawi dan Pulau Tuba itu, adalah janji Perdana Menteri ketika mengunjungi pulau berkenaan pada Oktober 2012.

"Hari ini saya sungguh gembira kerana apa yang saya lafazkan sebagai janji kepada masyarakat Pulau Tuba ditepati dan ditunaikan

"Projek ini satu kelulusan istimewa buat orang Pulau Tuba kerana ia tak ada dalam belanjawan kerajaan, namun saya mengambil keputusan ia perlu dilaksanakan kerana saya diberitahu orang Pulau Tuba menghadapi gangguan bekalan elektrik yang tak begitu stabil dan tiada sistem yang ada kebolehharapan di sini," katanya.

 

Kemaskini Terakhir: Rabu, 24 Mei 2017 - 10:44am