MENU

LANGKAWI: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan pelan induk lima tahun mensejahterakan warga bandar di negara ini, Januari depan.

Menteri, Tan Sri Noh Omar, berkata hingga kini urusetia Pelan Induk Kesejahteraan Rakyat Bandar (PIKRB) 2017-2022 sudah mengadakan tiga siri bengkel dalam usaha memurnikan pelan awal yang dirangka.

"Bengkel siri pertama membabitkan penyertaan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) diikuti siri kedua disertai pemimpin masyarakat, manakala siri ketiga di Langkawi kali ini membabitkan EXCO kerajaan negeri seluruh negara.

"Kita merancang mengadakan satu lagi bengkel sebelum pelaksanaannya yang dijangka bermula awal Januari depan," katanya selepas menghadiri makan malam sempena bengkel PIKRB di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kementeriannya memperoleh peruntukan sebanyak RM300 juta daripada Bajet 2017 khusus untuk penyelenggaraan kemudahan asas kepada penduduk yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam bandar.

"Menerusi peruntukan khas itu dan beberapa peruntukan tambahan lain, kita akan bekerjasama dengan semua pihak untuk membantu penduduk bandar daripada segi meringankan beban kos sara hidup, memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka serta kemudahan perniagaan," katanya.


Oleh : Hamzah Osman

Sumber: Berita Harian

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 September 2017 - 1:01pm