MENU

BERITA HARIAN

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2017

LANGKAWI: Tayangan laser alam fantasi dan tamadun Mesir di Muzium 3D Art In Paradise Langkawi (Muzium 3D) di Teluk Burau di sini, diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai tayangan pemetaan dalam dewan paling besar di negara ini.

Tayangan visual bergerak selama lima minit membabitkan ruang penglihatan merangkumi 180 darjah dengan keluasan 556.32 meter persegi itu memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

Pada majlis sama, sebuah lukisan mural 3D yang menggambarkan tamadun Mesir bersaiz 1,200.73 meter persegi turut diiktiraf sebagai mural 3D paling besar di negara ini.

Sijil pengiktirafan kedua-dua rekod itu diserahkan wakil MBOR, Nurasyikin Ramli kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin pada Majlis Penjenamaan Semula Muzium 3D di perkarangan Oriental Village Teluk Burau di sini, sebentar tadi.

Azizan berkata, tayangan laser yang unik itu memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, seolah-olah berada di kawasan Air Terjun Niagara di New York, Amerika Syarikat, tamadun Mesir dan empayar Rom.

"Usaha ini bertujuan memberi kepelbagaian produk untuk menarik kedatangan pelancong secara berulang, sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau peranginan ini," katanya.

Beliau berkata, Muzium 3D dibina di atas tapak seluas 1,950.96 meter persegi dan mula dibuka kepada orang ramai pada Februari 2015 dan kini muncul antara destinasi 'mesti lawat' di pulau pelancongan bebas cukai itu.

"Sebanyak 20 gondola yang juga menjadi aset baharu SkyCab Langkawi, termasuk dua gondola berlantaikan kaca digunakan untuk membawa pengunjung ke puncak Gunung Mat Chinchang setinggi 713 meter dari aras laut," katanya.
 

Kemaskini Terakhir: Ahad, 26 March 2017 - 11:13am