MENU

BH ONLINE

Oleh Hamzah Osman

bhnews@bh.com.my

 

LANGKAWI: Mural gergasi pada dinding rumah kedai di Kuah, bakal menjadi tarikan baharu di pulau ini terutama kepada pengunjung Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Kurator Bahagian Penyelidikan dan Pameran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Baktiar Naim Jaafar, berkata mural bertemakan ‘Geopark, Hidupan Marin, Flora dan Fauna’ itu dilukis menggunakan tangan dan dicat menggunakan teknik semburan.

Katanya, ia yang kini dalam proses diwarnakan dihasilkan oleh empat pelukis yang ditaja Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.

“Kerja melukis mural mula dibuat Selasa lalu dan kita perlu siapkannya Ahad ini iaitu sebelum perasmian LIMA’19. Ini kerana Langkawi akan dibanjiri pelancong sepanjang minggu hadapan yang pastinya mahu mengabdikan kenangan berlatar belakangkan mural ini.

“Difahamkan ini adalah projek perintis dan jika mendapat sambutan ramai, lukisan mural ini akan diperluaskan ke bangunan lain di pulau ini. Pelukis mula melukis dari jam 8 pagi hingga 10 malam, namun terpaksa berehat agak lama pada waktu tengah hari kerana cuaca terik,” katanya.

Beliau berkata, lukisan mural pada dinding bangunan yang terdedah kepada cuaca panas dan hujan perlu menggunakan cat sembur berkualiti diimport yang mampu bertahan sehingga lima tahun.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 16 Oktober 2019 - 11:25am