MENU

BERITA HARIAN

KHAMIS, 12 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang akan berlangsung pada 21 hingga 25 Mac ini dijangka menarik 40,000 pelawat, pempamer dan delegasi perdagangan dari seluruh dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Russia sekali lagi dijangka muncul pempamer antarabangsa terbesar, diikuti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan United Kingdom (UK), selain penyertaan pertama kali dari Korea Selatan, Austria, Estonia, Hong Kong, Filipina, Poland, Thailand dan Belanda.

"Pasukan aerobatik tentera udara Korea, Black Eagles, akan membuat penampilan kali pertama di LIMA. Ia dilengkapi sembilan pesawat jet KAI-T50B.

"Sebuah lagi pasukan yang kali pertama membuat persembahan adalah pasukan aerobatik dari Tentera Udara India," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar sempena pengumuman penaja rasmi LIMA'17 di Wisma Pertahanan di sini, sebentar tadi.

Pengumuman dibuat Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 27 Julai 2017 - 3:04pm