MENU

KUALA NERANG 10 OKTOBER 2016: Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 300 hektar kawasan sawah padi di Kedah berpotensi melalui proses transformasi dengan mengguna pakai baka beras wangi variasi MRQ76 bagi tanaman mereka menerusi program Sawah Gemilang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob, berkata buat masa ini sebanyak 74 hektar di dua kawasan di Padang Terap menjadi lokasi perintis penggunaan baka padi ini.

Sehubungan itu, pihaknya berharap lebih banyak petani di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berani mengambil inisiatif menanam padi bakai ini kerana ia berupaya meningkatkan pendapatan petani.

"Selain di dua kawasan di Padang Terap ini, kita sudah dapat tawaran bagi kaedah penanaman ini di Langkawi membabitkan kira-kira 202 hektar kawasan. Ia adalah kawasan khas yang boleh ditanam dengan variasi ini membabitkan kawasan di luar MADA.

"Kebanyakan tempat pada masa ini masih belum menunjukkan peningkatan kerana ia masih lagi di peringkat percubaan dan promosi, namun ia berupaya menambah pendapatan bagi setiap tan," katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Suraya merasmikan Majlis Penuaian dan Pemprosesan Padi Wangi Usang dalam Jelapang di Kampung Padang Balai, di sini.

Variasi ketiga padi wangi, MRQ76 dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada tahun 2012 bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras wangi import.

Pada masa sama, Suraya berkata melalui program Sawah Gemilang, Jabatan Pertanian negeri bersama agensi di bawahnya membantu petani yang ingin memulakan penanaman padi menggunakan variasi ini.

Oleh :Suzalina Halid

Sumber: Berita Harian

Kemaskini Terakhir: Ahad, 26 March 2017 - 11:13am