MENU

LANGKAWI 30 Mei - Usaha mengangkat Langkawi sebagai antara 10 destinasi percutian terbaik dunia terus rancak apabila kerajaan negeri dengan usahasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta sebuah syarikat kosmetik Perancis, Cosmetics Valley bakal mewujudkan ‘perkampungan kosmetik’ di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, hasrat itu jika menjadi kenyataan akan memberi nilai tambah kepada pulau legenda tersebut selain turut memberi ruang kepada rakyat untuk meraih pendapatan menerusi pertanian dalam bidang herba serta bunga-bungaan.

Menurutnya, setakat ini pemilihan tempat sudah dibuat oleh beberapa pihak termasuk kementerian berkenaan dan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp),

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah turut melawat ke kawasan yang bakal dijadikan tapak pembangunan utama untuk projek tersebut.

“Cosmetic Valley merupakan pusat pengumpulan barangan kosmetik serta wangian yang terkenal di Perancis. Di situlah kebanyakan jenama wangian dan kosmetik terkenal dihasilkan serta dijual sekali gus menjadikan­nya sebagai lokasi yang mendapat perhatian pelancong.

“Jadi kami jemput Cosmetic Valley untuk datang melabur di Kedah. Kita punya kelebihan ke­rana di sini terdapat banyak herba serta tumbuhan yang digunakan dalam pembuatan kosmetik serta wangi-wangian. Mereka tampak bersetuju dan pengasasnya, Jean Luc Ansel akan datang ke Langkawi pada 11 Jun depan untuk membuat penilaian,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai majlis pe­rasmian pembukaan Hotel The St. Regis oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, malam tadi.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai cadangan mewujudkan kepulauan kosmetik yang disifatkan sebagai antara langkah menambah nilai pulau tersebut.

Difahamkan kerajaan negeri sudah menyediakan tanah seluas kira-kira 600 ekar di Kampung Ulu Melaka dan persekitaran Bukit Sawak dekat sini untuk tujuan tersebut.

Mengulas lanjut katanya, sebaik saja Cosmetic Valley bersetuju memasuki Kedah, jenama-jenama terkenal yang selama ini bernaung di bawah syarikat tersebut dijangka turut membuka kilang serta menjalankan operasi di Langkawi.

Oleh : Mohd Rafie Azimi

Sumber : Utusan

Kemaskini Terakhir: Rabu, 24 Mei 2017 - 10:44am