MENU

LANGKAWI: Pesta Pantai Langkawi (PPL) 2016 di Jalan Pantai Tanjung Rhu, di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Diisi 20 acara, pesta dua hari sejak semalam itu disertai wakil dari enam mukim di pulau peranginan ini selain pasukan dari Satun dan Songkla di Thailand, Filipina dan England.

Acara yang disediakan ialah pukul bantal, larian pantai, kayak pecut, tarik tali berperahu, panjat tiang licin, bola jaring, bola sepak pantai, maraton, sepak raga tuju, badang Langkawi, dayung, sukaneka, pertandingan melukis dan pameran.

Ia dirasmikan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Hussin Moh dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid serta Timbalan Gabenor Satun, Sorradat Suntrachun.

Hussin berkata, pesta yang turut mendapat penyertaan antarabangsa itu diyakini mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini dan sebaiknya dijadikan acara tahunan dengan penyertaan berskala besar.

"Penganjur boleh memulakan program promosi bermula sekarang untuk menarik penyertaan dari dalam dan luar negara pada tahun hadapan," katanya. Sementara itu, Mohd Rawi berkata, kemeriahan turut dirasai menerusi acara Tanjung Rhu Swimfest anjuran sebuah syarikat swasta yang disertai lebih 100 peserta dan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu dua, empat serta enam kilometer.

"Ia diharap mampu meningkatkan keupayaan pelancongan dan ekonomi setempat dan negeri ini," katanya.

Laporan Hamzah Osman

Sumber BErita Harian 10 Disember 2016

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 September 2017 - 1:01pm