MENU

HARIAN METRO

Selasa, 14 Februari 2017 @ 4:23 PM

Langkawi: Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) menubuhkan pasukan khas berkaitan kebersihan menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 mulai 21 hingga 25 Mac depan.

Yang Dipertuanya Abdul Bari Abdullah berkata, isu kebersihan perlu ditangani dengan baik supaya tidak memberi gambaran buruk mengenai pulau ini kepada peserta dan pengunjung pameran dwitahunan bertaraf antarabangsa itu.

"Untuk itu kita menubuhkan pasukan khas membabitkan lebih 100 anggota untuk memantau dan menangani isu kebersihan lebih sebulan lalu, malah pasukan ini diaktifkan secara 24 jam sejak seminggu lalu.

"Pasukan ini bertanggungjawab memastikan kawasan tumpuan ramai bersih daripada sampah sarap, selain keceriaan dan keselesaan pengguna turut ditingkatkan," katanya ditemui pada Gotong-royong sempena LIMA 2017 di pekarangan Kompleks Jetty Point, di sini, sebentar tadi.

Abdul Bari berkata, tumpuan utama pasukan khas itu membabitkan laluan protokol dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hingga ke Awana Porto Malai.

Sementara itu, 400 peserta mewakili 30 agensi kerajaan dan swasta menyertai gotong-royong selama dua jam mulai 9.30 pagi membabitkan laluan sejauh dua kilometer dari Pusat Beli-Belah Langkawi Fair hingga ke The Westin Langkawi Resort & Spa di sini.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 13 Disember 2017 - 8:24am