MENU

 

LANGKAWI: Langkawi yang memiliki pelbagai aset tarikan pelancong bersedia menjadi penganjur terbaik Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2018 yang bakal menghimpunkan lebih 3,000 pemain industri pelancongan dari seluruh dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, berkata pihaknya akan menggunakan segala elemen sedia ada bagi memastikan penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu mampu melonjak industri pelancongan tempatan ke tahap lebih tinggi.

 

"Berbekalkan pengalaman kita menghadiri PATA Travel Mart 2017 selama tiga hari yang berakhir Jumaat lalu di Macau, Hong Kong, sudah tentu kita bersedia untuk menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada tahun hadapan.

 

"Dijangkakan lebih 3,000 peserta dari 70 negara bakal berhimpun di pulau ini sepanjang acara itu mulai 12 September 2018 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC)," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Jamuan Makan Malam Pengusaha Pelancongan Langkawi di Kompleks Kraf Langkawi (KKL) di sini, malam tadi.

 

Yang turut hadir, CEO Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir dan Pengurus KKL, Rosman Manan.

 

Azizan berkata, LADA menggesa syarikat penerbangan AirAsia mengkaji penambahan penerbangan dari beberapa bandar utama di rantau Asia Pasifik ke negara ini bagi memberi kemudahan kepada peserta antarabangsa menghadiri acara itu.

 

"Saya yakin peserta dari Hong Kong, India, Thaiand, Vietnam dan beberapa bandar utama China seperti Guangzhou, Shenzen dan Chengdu tiada masalah kerana sudah wujud penerbangan terus ke negara ini.

 

"Pada masa sama, kita juga bercadang menganjurkan beberapa seminar sepanjang PATA Travel Mart 2018 kelak termasuk berkaitan eko-pelancongan dan geopark," katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Last Updated: Tuesday, 14 August 2018 - 2:41pm