MENU

BERITA HARIAN

Oleh Hamzah Osman

bhnews@bh.com.my

LANGKAWI: Hospital Langkawi dijangka mampu merekodkan penjimatan kos penggunaan elektrik sehingga RM360,000 setahun menerusi pelaksanaan strategi kelestarian tenaga menggunakan sistem fotovoltaik (PV) mulai bulan ini.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar, berkata sistem fotovoltaik iaitu teknologi penghasilan kuasa elektrik berasaskan solar yang dibangunkan dalam tempoh tiga bulan di hospital itu menerusi dana RM1 juta, kini sedang diuji keberkesanannya.

"Melalui inisiatif itu sebanyak 250 panel solar dipasang atas bumbung parkir di pekarangan Hospital Langkawi yang mana, ia mampu menghasilkan sehingga 80 kilowatt jam (kWj) bekalan elektrik sebagai sumber tenaga baharu, bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan hospital ini.

"Saya difahamkan bil elektrik Hospital Langkawi mencecah RM200,000 sebulan dan kita yakin penjimatan sebanyak RM30,000 sebulan mampu dicapai menerusi penggunaan sistem PV ini," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka dan Ulang Tahun ke-102 Hospital Langkawi di sini.

Yang turut hadir Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail.

Azman berkata, kejayaan membangunkan projek terbabit menjadikan Hospital Langkawi sebagai hospital ketiga di negara ini menggunakan sistem solar sebagai sumber tenaga elektrik, selepas Institut Kanser Negara di Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh di Selangor.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata Hospital Langkawi bakal memperoleh bangunan baharu yang dilengkapi peralatan canggih untuk menampung jumlah pesakit dan mengelakkan kesesakan untuk mendapatkan rawatan.

"Pembinaan sebuah bangunan baharu yang tapaknya sudah dikenal pasti dan dilengkapi peralatan canggih bernilai RM500 juta itu bakal meningkatkan kapasiti kepada 220 katil, berbanding 190 katil ketika ini.

"Saya difahamkan pelannya sudah siap dan kini di peringkat membuat perancangan untuk memilih kontraktor, manakala kerja tapak akan dimulakan awal tahun depan sebelum siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya sentiasa berusaha menambah baik kemudahan sedia ada dengan rekod semasa menunjukkan Hospital Langkawi memiliki 56 pegawai perubatan terlatih, termasuk 14 daripadanya berstatus doktor pakar.

Last Updated: Thursday, 18 January 2018 - 3:30pm