MENU

HARIAN METRO

Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:35 AM

Hamzah Osman

sukan@hmetro.com.my

Langkawi: Sebanyak 29 pasukan akan berentap di Liga Bola Sepak Langkawi bagi merebut Piala Ahli Parlimen Langkawi yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM25,000, akhir bulan ini.

Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berkata, pertandingan julung kali itu bertujuan memupuk semangat kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan penduduk pulau itu.

“Program ini diadakan untuk menggalakkan mereka berusaha sedaya upaya mencapai kecemerlangan selain berdisiplin.

“Apabila seseorang itu mempunyai disiplin tinggi, dia pasti dapat bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam satu pasukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Cabutan Undi dan Penyerahan Jersi di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA, baru-baru ini.

Nawawi berkata, dengan sambutan sangat menggalakkan, pertandingan yang mendapat kerjasama LADA dan sebuah syarikat swasta itu akan diteruskan pada tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Pertandingan Ahmad Marzuki Shariat berkata, sebanyak 29 pasukan dalam Parlimen Langkawi membabitkan 700 pemain sudah mengesahkan penyertaan.

“Pertandingan ini mewajibkan pasukan untuk mendaftarkan pemain masing-masing secara atas talian dan setiap pemain yang bertanding perlu memiliki lesen yang dikeluarkan oleh penganjur.

Juara akan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua (RM7,000), tempat ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).

Last Updated: Sunday, 22 October 2017 - 2:16pm